Operasi mencari dan menyelamat warga Britain Gareth David Huntley (gambar), 34, yang hilang lebih seminggu lalu, hari ini diperluaskan ke dua kawasan iaitu Kampung Paya dan Kampung Mukut, selain sekitar kawasan Air Terjun Lubuk Teja, lokasi mangsa dilaporkan hilang sebelum ini.
Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Pahang, Morni Mamat berkata pasukan itu yang dianggotai 55 anggota, termasuk pegawai; dan empat anjing pengesan dipecahkan kepada tiga kumpulan.Katanya, dua kumpulan akan melakukan pencarian di Kampung Paya manakala satu kumpulan lagi di Kampung Mukut.
Pencarian di sekitar kawasan air terjun dan Gunung Kajang tetap diteruskan."Dua kumpulan itu akan bertemu semula di Gunung Kajang keesokan hari dan anggota kita bermalam di dalam hutan di Gunung Kajang sejak malam tadi."Pencarian mangsa akan diperluaskan ke kawasan gunung itu kalau-kalau mangsa keluar dari lokasi dia dilaporkan hilang dan menuju ke kawasan gunung berkenaan, " katanya.Pencarian di Gunung Kajang yang berketinggian 1,038 meter dari paras laut perlu dilakukan secara berhati-hati kerana ia mempunyai 50 meter darjah ketinggian cerun serta dilitupi hutan tebal dan batu.Mozni berkata, anggota bomba akan terus bermalam di hutan sekiranya warga Britain itu masih gagal ditemui hari ini.Selain itu, katanya, sebuah helikopter bomba dalam keadaan siap sedia berada di Mersing untuk misi membawa keluar mangsa dari dalam hutan atau membawanya ke hospital berdekatan.Sementara itu, Ketua Kampung Pulau Tioman Ab Razib Ali Awang berkata kehilangan Huntley merupakan kehilangan paling lama dicatatkan membabitkan pelancong yang hilang atau sesat di kawasan Air Terjun Lubuk Teja.Katanya, sebelum ini kehilangan pelancong di dalam hutan itu tidak melebihi dua jam.Menurutnya, hutan di kampung berkenaan yang berkeluasan hampir 30 kilometer kaki persegi merangkumi Gunung Kajang dan air terjun Lubuk Teja adalah bercuram serta berbatu sekali gus berbahaya kepada pengunjung luar jika memasukinya tanpa jurupandu arah."Setakat ini sudah lima pelancong sesat di hutan berkenaan dan kali terakhir adalah awal tahun lalu membabitkan warga Singapura namun berjaya ditemui sejam kemudian selepas penduduk kampung menjalankan operasi mencari," kata Ab Razib.Katanya, sebaik sahaja mangsa gagal kembali ke chalet Projek Penyu Juara pada jam 4 petang 27 Mei, pekerja dan sukarelawan di projek penyu tersebut keluar mencari mangsa sehingga 7 malam.Operasi mencari mangsa diteruskan keesokan harinya oleh Rela dan penduduk kampung namun gagal menemui mangsa, seterusnya laporan polis dibuat pada 29 Mei.Ab Razib berkata, Huntley atau mana-mana pelancong sepatutnya mengupah jurupandu arah untuk memandu mereka ke kawasan air terjun berkenaan kerana kebarangkalian untuk sesat adalah tinggi berikutan keadaan hutan tebal dan berbatu. – Bernama, 4 Jun, 2014.
0 Comments